Alhamdulillah semalam aku berpeluang join sahabat aku Ali Nubli mendaki bukit Panorama, Sg Lembing. Pada awalnya aku sangkakan ini trip fotografi, rupanya ini trip latihan beliau dalam persedian untuk beliau mendaki Gunung Slamet di Jogja, akhir bulan ini.
Bukit Panorama terletak di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang merupakan salah satu destinasi tarikan pelancong sekiranya korang bertandang ke Bandar Bersejarah Sungai Lembing yang terkenal sebagai bandar perlombongan bijih timah terpanjang dan terdalam di Asia Tenggara. Aku tak pasti berapa kali dah naik Bukit Panorama ni, tapi aku rasa hampir 2 tahun lamanya aku tak naik.
Waktu
Untuk sampai ke puncak Bukit Panorama korang perlu mendaki seawal 5.30 pagi iaitu sebelum waktu subuh agar sampai awal di puncak bagi memastikan korang sampai sebelum matahari naik. Kos masuk adalah percuma.
Uiii kenapa awal sangat? Aaa sekiranya korang bernasib baik, korang akan dapat menikmati pemandangan indah ketika matahari naik “sunrise” di Bukit Panorama dengan foreground Bukit Charas Sungai Lembing. Sebab itulah ramai naik Bukit Panorama ni. Jika korang seorang jurufoto, jangan lupa bawa kamera dan lense secukupnya.
Malangnya masa aku naik baru ni, tiada sunrise kerana kabus tebal ditambah jerebu barangkali kesan daripada kebakaran hutan di Indonesia yang hangat diperkatakan ketika ini.
Tempoh & Jarak
Pendakian Bukit Panorama ini mengambil masa 30 ~ 40 minit pendakian biasa melalui laluan tangga yang baru dibuat. Jaraknya dalam lebih kurang 900 meter sahaja. Cuma pesan aku, bagi mereka yang baru pertama kali atau dah lama tak mendaki, jangan terlalu gopoh ketika naik kerana tangganya agak curam yang mungkin menyebabkan korang mula rasa nak muntah ditengah jalan.
Kemudahan
Untuk pengetahuan korang, di kaki bukit ada kemudahan tandas awam berbayar. Di puncak tiada sebarang kemudahan tandas dan juga air. Sekadar ada pondok rehat sahaja. Jadi sekiranya korang ingin ke tandas, silalah selesaikan hajat terlebih dahulu. Kepada yang muslim juga begitu, sekiranya naik sebelum subuh bolehlah berwuduk terlebih dahulu sebelum naik, dan bawa alas bagi menunaikan solat seadanya. InsyaAllah ada tempat bersih di atas.
Penutup
Biasanya memang ramai yang berkunjung ke Bukit Panorama ini sama ada dari dalam dan luar negara. Ada yang naik awal pagi ketika gelap, ada yang naik sesudah terbit matahari. Jadi biasanya, korang tidak akan keseorangan di Bukit Panorama.
Selamat mendaki ya!
P/s: Lepas korang turun, boleh cari Restoran Mee Jawa Pok Yeh. Power bang!
Leave a Reply